Polls
Apa pandangan anda mengenai wajah baru(3) laman web Latepackers ini?
 
mod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_counter
mod_vvisit_counterToday18
mod_vvisit_counterYesterday81
mod_vvisit_counterThis week163
mod_vvisit_counterThis month177
mod_vvisit_counterAll75233
Pelawat DiTalian
We have 2 guests online
Home ARTICLES

PostHeaderIcon UTUSAN - WOW REKREASI : LATEPACKERS ALUMNI DI BELANTARA


HIDANGAN makan malam yang dilakukan secara gotong-royong memeriahkan perkhemahan.


HOTEL atau restoran mewah yang menyajikan pelbagai cita rasa tidak pernah menjadi pilihan destinasi reunion mereka walaupun ramai yang sudah bergelar profesional dan usahawan berjaya.

Bagi mereka tiada saat yang lebih manis daripada menikmati makanan serba ringkas yang dimasak oleh rakan-rakan sendiri ditemani kicauan dan bunyi unggas rimba.

Sejak tahun pertama di universiti hingga ke hari ini, alam semula jadi kekal sebagai kunci keakraban ahli Pertubuhan Alumni Kembara dan Rekreasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) atau lebih dikenali sebagai Latepackers.

Itulah keistimewaan Latepackers seperti yang diakui Robiah Kamal, 34, bekas pelajar Fakulti Ekonomi UIAM ketika ditemui pada Ekspedisi Air Terjun Berkelah anjuran Real Adventure Gear, dekat Maran, minggu lalu.

Robiah yang kini bertugas di Kementerian Pelajaran berkata, walaupun sudah lebih 10 tahun meninggalkan kampus UIAM dia masih meluangkan masa untuk mengikuti aktiviti anjuran Latepackers.

Katanya, pertemuan di hutan memberi peluang kepada mereka untuk meluangkan masa bersama dan berkongsi cerita.

''Hutan adalah tempat terbaik untuk kami bersua muka dan mengetahui perkembangan rakan-rakan," katanya yang pernah mendaki gunung-gunung tertinggi seperti Tahan, Korbu, Gayong, Yong Belar, Setong dan Ayam.

Sejak ditubuhkan pada 1997, Latepackers yang dianggotai oleh bekas ahli Kelab Kembara dan Rekreasi UIAM (ARC) sehingga kini mempunyai beratus-ratus pengikut.

Perkara yang sama turut dikongsi oleh pemilik syarikat Real Adventure Gear (RAG), Ahmad Nazrin Abu Bakar dan rakan kongsinya, Faizal Juana Kusuma Mohd. Radzali.

Menurut mereka lagi, aktiviti Latepackers kini bukan hanya melibatkan bekas-bekas pelajar UIAM sahaja malah turut mengalu-alukan penglibatan orang luar.

Ahmad Nazrin berkata, mereka yang berminat dalam aktiviti rekreasi Latepackers khususnya yang berkaitan dengan usaha pemuliharaan alam boleh mendapatkan maklumat melalui laman web www.latepackers.com dan laman sosial online Facebook (Latepackers).

''Kedua-dua laman itu menyediakan maklumat terperinci mengenai setiap aktiviti yang diadakan.

''Bulan depan misalnya, Latepackers mengadakan aktiviti mendaki Gunung Nuang sambil mengutip sampah," ujarnya.

Sementara itu, Faizal Juana berkata, peluang bertemu rakan-rakan lama juga tidak dilepaskan untuk memperkenalkan barisan produk kembara yang ditawarkan oleh syarikatnya pada harga berpatutan.

''Pada setiap acara Latepackers anjuran RAG, kami menyediakan jualan luar kedai merangkumi kelengkapan rekreasi keluaran Eiger pada harga istimewa," katanya sambil menunjukkan contoh tikar getah keluaran Eiger yang mendapat sambutan tinggi.

Seorang lagi usahawan, Shaharuddin Saari, berkata, perhimpunan rakan-rakan lama dan baru di dalam aktiviti seperti itu turut dimanfaatkan sebagai peluang perniagaan syarikatnya, Fourth Screen Sdn. Bhd. yang menawarkan kemudahan perisian sistem penentu kedudukan global (GPS).

Menurut beliau, kerjasama Fourth Screen dengan RAG adalah sebahagian usaha memperkenalkan alat dan perisian perantauan yang dapat berfungsi dengan baik di dalam hutan tebal.

''Ekspedisi kali ini digunakan untuk menguji keberkesanan sistem dan peralatan di dalam hutan negara ini,"jelasnya.

Integrasi kembara dengan teknologi itu diharap dapat menjadikan aktiviti rekreasi sesuatu yang lebih menyeronokkan misalnya dengan permainan mencari harta karun menggunakan GPS atau lebih popular dengan nama geo cache.

Perjalanan menuju puncak

Pendakian ke tingkat tujuh Air Terjun Berkelah yang disertai oleh 25 orang itu memakan masa kira-kira dua jam setengah. Masa yang agak panjang sebenarnya jika diambil kira jarak pendakian bagi sebuah bukit.

Tetapi apakan daya, perjalanan dari Taman Rekreasi Hutan Lipur Berkelah menuju ke puncak 'tergendala' kerana kebanyakan kami begitu asyik dan terpesona melihat keindahan alam di sepanjang laluan.

Keindahan Hutan Lipur Berkelah memang tiada tolok bandingnya. Selain puluhan air terjun, kolam dan bongkah batu gergasi yang menghiasi aliran jeram, hutan simpan itu juga dilimpahi dengan kepelbagaian flora dan fauna yang tidak terusik.

Cuma di beberapa tapak perkhemahan kelihatan sampah sarap yang ditinggalkan oleh mereka masih yang tidak tahu menghargai anugerah alam yang tidak ternilai itu.

Kami tiba di puncak paling tinggi ketika matahari 'tegak di kepala'. Walaupun kepenatan, senyuman jelas terukir pada wajah masing-masing sebaik melihat kehebatan air terjun di tingkat tujuh yang hampir menyamai ketinggian bangunan 10 tingkat.

Selepas merehatkan badan, kolam yang terletak bersebelahan dengan tapak perkhemahan kami mula riuh dengan teriak manusia dan percikan air. Rupa-rupanya, ada acara 'terjun tiruk' di situ dan sebahagian yang lain menikmati mandian 'jakuzi' di celah-celah batu.

Hujan yang turun pada lewat petang tidak sedikit pun menjejaskan kemeriahan majlis makan malam yang dipenuhi hidangan istimewa termasuk ayam, ikan dan sotong panggang.

Sebelum melelapkan mata, sinaran bulan yang mengambang penuh menghadiahkan kami satu lagi keindahan alam tidak terdapat di bandar iaitu ketika bintang-bintang bertaburan di langit.

Keesokkan harinya, atur cara program Latepackers yang ditunggu-tunggu iaitu flying fox merentasi kolam air terjun seluas kira-kira 70 meter mengambil tempat.

Keseronokan meluncur laju dan terjun ke dasar kolam dari ketinggian kira-kira 10 meter itu pasti menjadi kenangan yang tidak dapat dilupakan oleh peserta. Yang pasti, apa sahaja aktiviti di puncaknya, pasti kunjungan ke Berkelah tidak akan menjadi yang pertama dan terakhir.

Secara peribadi, selepas kunjungan kali terakhir saya lapan tahun lalu, Hutan Simpan Berkelah masih kekal sebagai kawasan jeram air terjun tercantik.